Mengisi masa lapang dengan aktiviti blogging.

Friday, May 15, 2020

Panduan Solat dan Khutbah Aidilfitri 2020

Teks Khutbah hari raya ini sebagai contoh dan panduan buat kaum bapa dan lelaki sekalian untuk dibacakan pada hari raya Aidilfitri ini.

Walaupun membaca khutbah hari raya adalah sunat sahaja, namun inilah peluang keemasan buat kita untuk membaca khutbah bersama ahli keluarga di rumah. 

Aidilfitri kali ini adalah sesuatu yang istimewa kerana mungkin pertama kali kita membaca khutbah hari raya. Kita tak pasti lagi pada masa hadapan kita berpeluang membacanya di hadapan ahli keluarga. Oleh itu manfaatkan peluang ini bersolat hari raya bersama keluarga dan membaca khutbah ringkas ini.

PANDUAN ASAS SOLAT AIDIL FITRI DI RUMAH BUAT IMAM INTERIM oleh Khairul Anuar Basri
Tahun ni memang cemas. Bukan saja cemas sebab Corona Virus, tetapi juga cemas sebab ada bulan Ramadhan.
Masjid dan surau ditutup. Jadinya, bapak-bapak mesti jadi imam solat terawih dan witir di rumah bersama isteri dan anak-anak.
Datang hari raya, cemas lagi. Sebab masjid dan surau masih lagi tutup. Jadinya sekali lagi, bapak-bapak mesti jadi imam solat. Kali ini solat Aidilfitri di rumah masing-masing.
Tambah cemas bila solat Aidilfitri kena baca khutbah lepas solat. Macamana nak buat tu?
So, saya bagi panduan asas solat Aidilfitri dan khutbah hari raya untuk bapak-bapak jadikan sebagai panduan.
Jangan takut! Lawan!
❤️ Solat Sunat Aidilfitri.
✅ Lafaz niat; sahaja aku solat sunat Aidilfitri, menjadi imam kerana Allah Ta’ala.
✅ Lepas baca doa iftitah, takbir ‘Allahu akbar’ sebanyak 7 kali. Selang-selikan dengan bacaan secara ‘Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu akbar’ secara perlahan.
✅ Cukup 7 kali takbir, mula membaca Surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan apa saja surah yang pendek.
✅ Kemudian rukuk, iktidal, sujud, duduk antara 2 sujud dan sujud kali kedua seperti biasa.
✅ Bangkit dari sujud menuju rakaat kedua dengan takbir ‘Allahu akbar’.
✅ Selepas itu terus bertakbir lagi ‘Allahu akbar’ sebanyak 5 kali. Selang-selikan dengan bacaan ‘Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu akbar’ secara perlahan.
✅ Cukup 5 kali takbir, mula membaca Surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan apa saja surah yang pendek.
✅ Kemudian rukuk, iktidal, sujud, duduk antara 2 sujud, sujud kali kedua dan duduk tahiyyat akhir.
✅ Baca tahiyyat sehingga habis dan bagilah salam.
Maka selesailah solat sunat Aidilfitri.
Kemudian tibalah saatnya untuk bapak-bapak membaca khutbah. Jangan takut! Lawan!
Khutbah Aidilfitri ni macam khutbah hari Jumaat biasa saja. Tambah best, saya akan bagi yang paling basic saja untuk dibuat dan khutbah ini sah.
❤️ Khutbah pertama.
✅ Ucap “Alhamdulillah”.
✅ Baca selawat “Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad”.
✅ Pesan kepada makmum untuk bertaqwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
✅ Baca 1 potong ayat Al-Quran; “Inna a’thoinakal kausar. Fasolli lirabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar”.
Sekian khutbah pertama. Kemudian duduk la sekejap.
❤️ Khutbah kedua.
✅ Ucap “Alhamdulillah”.
✅ Baca selawat “Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad”.
✅ Pesan kepada makmum untuk bertaqwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
✅ Baca 1 potong ayat Al-Quran; ”.”Qul huwallahu Ahad. Allahus somad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufuwan ahad”.
✅ Baca doa untuk seluruh orang Islam; “Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.
Then, boleh la bersurai.
Itu je pun. Tak susah kan? Sempoi giler. 
Ada 10 hari lagi nak berlatih ye. Kalau boleh jangan la yang basic sangat. Tambah la sikit perisa biar sedap tak nampak kering.
Terutamanya yang bahagian khutbah hari raya tu.
Agak-agak susah, boleh je download khutbah mana-mana kat internet. Kemudian baca.
Selesai...
Masih bimbang?
Jangan takut! Lawan!
Kalau takut nak lawan sorang-sorang, lawan ramai-ramai. Share panduan ni dekat semua bapak-bapak yang bakal jadi imam dan khatib raya di rumah nanti.
Kita lawan sama-sama.
#KAB
#StayAtHome
Jangan panik wahai orang lelaki..
Untuk lebih mudah, sila dapatkan khutbah hari raya Aidilfitri 2020 yang ringkas dan padat untuk panduan anda yang nak baca khutbah nanti.



Teks khutbah ini disediakan oleh Dr Basri Husin.


TEKS KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI LENGKAP (TAJUK: HIKMAH DI SEBALIK COVID-19)

Khutbah Pertama


 WAHAI AHLI KELUARGAKU YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, setelah 30 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan, hari ini 1 Syawal kita meraikan hari raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. 

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Dalam kegembiraan kita merayakan Idul Fitri yang penuh keberkatan ini,  ketahuilah kita sebenarnya masih lagi diuji dengan wabak COVID-19 yang masih melanda negara. 

Dalam Surah al-Mulk, Ayat 2, Allah mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

Firman Allah:

 

Maksudnya:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”

AHLI KELUARGAKU YANG DIKASIHI,

Tindakan kerajaan menetapkan PKP dan PKPB adalah sebagai satu ikhtiar untuk membendung penularan COVID-19 yang lebih serius dalam masyarakat. Oleh itu hendaklah kita mematuhi setiap langkah yang disarankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.

Dalam sejarah Islam, tindakan seperti ini pernah direkodkan apabila pandemik penyakit pernah melanda Mekah, Iraq, Palestin dan Sham yang menyebabkan beberapa kawasan ditutup termasuklah masjid yang langsung tidak dapat didirikan solat berjemaah. 

Namun selepas itu, keadaan kembali seperti biasa dan masyarakat dapat menjalankan kehidupan harian seperti sediakala.

Kita perlu ingat bahawa ujian ini menjadi rahmat kepada insan bersabar dan memberikan tindak balas yang betul dalam menghadapinya.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Pandemik COVID-19 ini memberi ruang lebih besar kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ujian yang melanda ini merupakan satu hikmah bagi kita. Terdapat banyak hikmah yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran;

Pertama: Hendaklah kita sentiasa menjaga kebersihan yang baik di kalangan keluarga sama ada di rumah ataupun luar rumah.

Kedua: PKP/PKPB juga memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan masa di rumah bersama keluarga dengan lebih bermakna. Kita dapat solat bertarawih berjemaah, berbuka puasa bersama-sama dan tolong menolong sesama kita.

Ketiga: Kita juga dalam menjalankan banyak aktiviti kekeluargaan yang lain secara bersama termasuklah belajar, membaca, menonton TV dan berbual bersama yang dapat merapatkan hubungan sesama kita.

AHLI KELUARGAKU YANG DISAYANGI,

Kita sudah hampir menang melawan wabak COVID-19, oleh itu hendaklah sama-sama kita terus membantu barisan hadapan negara dengan duduk di rumah dan selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).




Selepas habis khutbah pertama* khatib hendaklah duduk sebentar. Bagi khatib yang membaca khutbah dalam keadaan duduk hendaklah diam buat seketika


Khutbah Kedua


AHLI KELUARGAKU SEKALIAN,

“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripadaNYA.


Marilah sama-sama kita menadah tangan dan berdoa;

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”,

“Engkau ampunilah dosa-doa kami”,

“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, negara kami serta seluruh umat Islam di dunia”.

“Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini,

“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah “Lindungilah kami “Selamatkanlah kami “Sejahterakanlah hidup kami.”

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.


*Selesailah khutbah hari raya yang penuh bermakna ini.


0 responds:

Iklan Tepi

Catatan Pelawat

Stats